Translate

Sabtu, 30 Maret 2013

Akhlak Rasulullah SAW

Alas tidur Rasulullah SAW cumalah anyaman tikar daun kurma, apabila baginda bangun tidur, berbekas-bekas urat-urat daun anyaman pada badan baginda yang mulia itu. Kebesaran baginda sebagai pemimpin dunia tidak menghalangnya hidup sebagai hamba yang lemah.

Akhlak Rasulullah SAW Azizah Othman Sirah kehidupan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW bersinar dengan kilauan akhlak baginda. Kerdipannya perlu menjadi hiasan dalam kehidupan manusia. Baginda yang hadir sebagai penyempurna budi pekerti yang mulia adalah insan teladan utama yang perlu kita dicontohi dalam menuju kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat. Justeru masalah yang melanda manusia hari ini adalah kerana mereka tidak bercermin dengan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW, sedangkan baginda meninggalkan dua perkara yang menjamin dan menyelamatkan manusia daripada tersesat dan disesatkan iaitu pedoman al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW sendiri. Kecintaan kepada Rasulullah SAW dan mengamalkan segala ajaran Islam yang dibawa oleh baginda sewajarnya disemai dalam kehidupan insan sejak daripada kecil lagi supaya mereka dewasa bersama nilai-nilai akhlak mulia. Ini sebagai pemangkin kepada kebahagiaan serta kejayaan hidup, sekali gus nilai-nilai akhlak utama itu dapat menjadi benteng dalam menghadapi pelbagai cabaran dan ancaman nilai dari luar. Pengertian Akhlak Perkataan akhlak berasal daripada perkataan Arab yang bererti budi pekerti, perangai, tingkah laku atau tabiat dan adat kebiasaan. Akhlak yang baik umpamanya: - Benar - Amanah - Menepati Janji - Sabar - Pemaaf - Pemurah Peribadi Rasulullah SAW adalah contoh yang paling tepat untuk dijadikan teladan dalam membentuk peribadi masing-masing. Begitu juga peribadi sahabat-sahabat baginda dapat kita jadikan contoh teladan kerana mereka semua berpandukan al-Quran dan al-Sunnah. Antara hadis yang membincangkan hal akhlak adalah seperti sabda baginda yang bermaksud, “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang terpuji.” Riwayat Ahmad, Hakim, Baihaqi dari Abu Hurairah). Dalam hadis lain pula baginda bersabda, “Tidak ada sesuatu dalam neraca timbangan yang lebih berat daripada timbangan keindahan budi.” (Riwayat Tirmizi) Ciri-ciri Akhlak Islamiah Pusat atau asas akhlak Islamiah itu adalah ketakwaan kepada Allah SWT yang dibimbing melalui sumbernya yang agung iaitu al-Quran. Ketakwaan mengandungi pengertian taat kepada Allah dan ingin mendapatkan keredaan daripada-Nya. Ia juga mempunyai pengertian takut, yakni takut kepada seksaan. Takwa menjadi asas yang kuat dan tidak mudah berubah. Tidak tunduk kepada hawa nafsu dan kehendak tertentu. Tidak diragukan lagi , orang yang bertakwa kepada Allah. Sesungguhnya mencintai-Nya dan mengamalkan segala yang diperintahkan-Nya. Orang yang benar-benar bertakwa menjadikan Islam sebagai sumber akhlak, akan menjadi dermawan, berani, adil, dapat dipercayai, arif, jujur, setia, kasih sayang, bersemangat, serta menjauhkan diri daripada sifat takut, bakhil, maksiat, menipu, dusta serta menjauhi sifat-sifat tercela lainnya. Firman Allah SWTdalam surah an-Najm, ayat 32 yang bermaksud, “Maka janganlah kamu mengatakan dirimu suci. Dialah yang paling mengetahui tentang orang-orang yang bertakwa.” Akhlak Islamiah berbeza dengan tata kehidupan yang dibuat oleh manusia. Ia mempunyai ciri-ciri berikut: - Kebajikan yang mutlak - Kebaikan yang universal - Kemantapan - Kewajipan yang dipatuhi - Pengawasan yang menyeluruh dan bersepadu Tidak satu pun daripada aliran akhlak yang dapat menjamin kebajikan yang mutlak. Islamlah yang dapat menjamin kebajikan yang sesungguhnya kerana Islam menciptakan akhlak yang luhur yang menjamin kebaikan yang murni baik untuk perseorangan mahupun untuk masyarakat. Akhlak Islamiah menjamin kebaikan untuk seluruh umat manusia pada zaman dan di semua tempat. Di samping itu akhlak Islamiah tidak sulit untuk dilakukan. Akhlak Islamiah juga bersifat mutlak, kebenarannya hakiki, tidak berubah-ubah, mantap sepanjang zaman kerana yang menciptanya adalah Allah SWT. Lain halnya dengan adat kebiasaan yang dibuat oleh manusia meskipun mereka menganggap apa yang mereka buat itu betul, namun tidak mampu bertahan lama. Mereka yang memaksa menerima pendapat tersebut dengan mengatakan ianya benar. Sesungguhnya mereka sedang berada di atas kerikil-kerikil yang tajam. Di samping itu, akhlak Islamiah mewajibkan umatnya mematuhi segala tuntutan yang digariskan oleh Allah SWT. Dengan demikian, keperibadian umat Islam sesuai dengan corak dan warna yang dipandukan oleh al-Quran sehingga menjadi umat yang bersatu padu, hidup dengan aman dan damai di muka bumi ini. Akhlak Islamiah juga mempunyai ciri-ciri adanya pengawasan yang menyeluruh dan bersepadu. Ertinya segala apa yang kita kerjakan akan menerima balasan daripada Allah SWT dan sedikit pun tidak luput daripada pengawasan Allah SWT. Jika kita tergolong dalam orang yang bertakwa, sudah tentu akan menerima kebaikan-kebaikan daripada-Nya. Pandangan Sarjana ke atas Akhlak Rasulullah SAW Akhlak mulia Rasulullah SAW turut dikagumi oleh para pemikir dan sarjana Barat seperti Arthur Glyn Leonard. Sarjana barat ini menyatakan, “Untuk mengerti Muhammad atau jiwa Islam dengan sempurna, orang harus tahu lebih dahulu bahawa Muhammad bukan hanya pengembara biasa yang menghabiskan umur melainkan satu daripada orang yang paling setia, jujur dan sungguh-sungguh dari setiap masa dan zaman.” Manakala A.C. Bonquet di dalam Comparative Religion menyatakan bahawa, “Muhammad berhasil memajukan umatnya dan mengembangkan ke seluruh wilayah Timur Tengah idaman siasah dan sosial yang lebih luas, lebih segar dan lebih matang daripada Byzantine. Ia menjauhi kemewahan, ia hidup dengan prinsip hemat dan menjauhi ketamakan. Ia terkenal kerana tindakan-tindakannya yang sederhana. Ia melakukan tugas kemanusiaan dengan tangannya sendiri.” Akhlak dan Peribadi Rasullullah Sebagai Model Rasulullah SAW mendidik dengan sikap dan akhlak kerana apa yang baginda cakapkan , baginda laksanakan. Seluruh kandungan al-Quran itu ada pada diri baginda zahir dan batin. Sehingga isterinya Siti Aisyah Ummul Mukminin ra mengatakan Rasulullah adalah al-Quran yang berjalan. Kaedah guru melakukan dahulu apa yang hendak diajar dan dididik sebelum diajarkan kepada muridnya adalah rahsia pendidikan yang cukup penting dan diperintahkan oleh Allah SWT melalui al-Quran. Di antara firman-firman Allah SWT berkenaan hal ini adalah seperti dalam surah as-Saff, ayat 2 dan 3 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan sesuatu yang kamu tidak berbuat. Amat besar kebencian di sisi Allah bila kamu mengatakan apa yang tidak kamu lakukan.” Allah SWT sangat benci kepada seseorang yang pandai bercakap tetapi tidak melakukan perkara yang dicakapkan kerana sikap itu mempersia-siakan ilmu yang diperolehi. Rasulullah SAW membuktikan tentang praktikalnya al-Quran sekali gus memberi contoh berkenaan cara hidup Islam yang diperintahkan oleh Allah SWT. Sikap dan akhlak baginda itu dicontohi dan diikuti oleh para sahabat. Para sahabat berlumba-lumba mencontohi Rasulullah dalam apa jua perkara yang baginda lakukan. Bahkan mereka sanggup mati demi mempertahankan dan melindungi Rasulullah SAW. Setiap hukum-hakam Allah SWT yang disampaikan kepada mereka bukan sahaja mereka dengar dan patuh, bahkan mereka sanggup memperjuangkan dengan rela hati sebagai cita-cita hidup mereka. Itulah hasil didikan melalui sikap dan akhlak kerana ia mampu membeli hati-hati manusia dan menyatukan hati-hati itu dalam satu barisan yang teratur kukuh. Firman Allah SWT dalam surah al-Anfal, ayat 63 yang bermaksud, “ Jika kamu belanjakan seluruh kekayaan seisi bumi untuk menjinakkan hati manusia, nescaya kamu tidak dapat melakukannya. Tapi Allahlah yang menjinakkannya.” Kita dapat lihat hakikat ini dalam masyarakat kita kini yang mana susahnya mendamaikan manusia yang berpecah belah, antara dua negara yang berperang . Seluruh pemimpin dunia kini gagal untuk menenteramkan keadaan kucar-kacir dunia. Mari kita melihat dan menghayati akhlak Rasulullah SAW yang mengubah dunia jahiliah kepada dunia Islam itu. Imam Ghazali dalam kitab Ihya ‘Ulumuddin ada menyenaraikan ayat-ayat al-Quran tentang akhlak ini: 1- Surah al-A’raf ayat 199 yang bermaksud, Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf serta berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh” 2- Surah As-Syura ayat 43 yang bermaksud: “Dan orang-orang yang sabar dan memaafkan sesungguhnya perbuatan yang demikian itu termasuk hal-hal yang diutamakan.” 3- Surah al-Fussilat ayat 34 yang bermaksud: "Tidak sama perbuatan yang baik dengan yang jahat. Tolaklah kejahatan orang dengan jalan yang terbaik, lalu secara tiba-tiba orang yang ada permusuhan antara engkau dengan dia menjadi sahabat yang karib.” Segala apa yang diajarkan oleh Allah SWT dalam al-Quran itu semuanya diamalkan oleh Rasulullah SAW. Akhlak-akhlak yang tinggi dan mulia yang disebut di dalam al-Quran itu menjadi akhlaknya. Allah SWT mengakui hal itu melalui firman-Nyadalam surah al-Qalam, ayat 4 yang bermaksud, "Sesungguhnya engkau mempunyai budi pekerti yang tinggi.” Seperti yang disenaraikan di dalam ayat-ayat al-Quran, di antara akhlak baginda ialah pemaaf, menyuruh berbuat baik, adil, membantu kaum kerabat, meninggalkan perbuatan mungkar dan derhaka, sabar, berlapang dada, tidak membalas kejahatan, menahan marah, berbaik sangka, tidak mengumpat dan lain-lain. Dengan akhlak yang demikian, siapa juga yang bergaul dengan baginda akan tertarik , sayang dan rindu untuk selalu bertemu. Sehingga orang kafir juga jatuh hati dan akhirnya memeluk Islam. Maka tidak hairan mengapa sahabat-sahabat baginda rela menyerahkan jiwa dan raga, hidup dan mati untuk bersama baginda memperjuangkan agama Islam. Kita lihat tiga contoh yang memperlihatkan agungnya akhlak Rasulullah SAW: Pemaaf a) Ada seorang perempuan tua Yahudi yang selalu menyusahkan Rasulullah SAW iaitu dengan menabur duri dan najis di jalan yang dilalui oleh baginda apabila pergi berdakwah. Si tua itu sangat bencikan Rasulullah, tetapi satu hari ketika dia jatuh sakit satu-satunya orang yang datang menziarahi beliau ialah Rasulullah SAW dan baginda turut mencari ubat untuknya. Alangkah pemaafnya baginda sehingga perempuan tua itu akhirnya memeluk Islam. b) Satu hari baginda berjalan dengan memakai baju Arab Najran, tiba-tiba seorang Arab Badwi menarik baju itu dan meminta diberikan kepadanya. Hampir-hampir luka leher Rasulullah SAW kerana tarikan tersebut. Tetapi baginda memaafkan si Badwi tersebut bahkan baju itu dibuka dan dihadiahkannya kepada si Badwi tadi. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Hubungi orang yang memutuskan kamu, berilah kepada orang yang tidak memberi kepadamu dan maaflah orang yang menganiayai dirimu.” Kasih Sayang Apabila dua tiga hari Rasulullah SAW tidak nampak salah seorang sahabatnya atau tidak bertemu di mana-mana, nescaya ditanya dan dicari oleh baginda. Bagindalah yang menziarahi ke rumah sahabat tersebut tanpa rasa sombong. Baginda makan, sembahyang dan duduk bersama-sama dengan para sahabat. Satu hari, ketika sedang menghadap hidangan makanan, datang seorang tua yang berkudis, hitam legam kulitnya, buruk rupanya dan berair pula kudisnya dan meminta makanan. Rasulullah SAW tanpa rasa jijik dan dengan penuh tawaduk memegang tangan orang itu, dibawa ke sebelahnya untuk makan bersama-sama baginda. Sabda baginda yang bermaksud, “Barang siapa yang tidak mempunyai rasa belas kasihan, maka dia takkan mempunyai kebaikan seluruhnya.” Islam menggariskan hak-hak sesama seagama yang menunjukkan betapa tingginya nilai kasih sayang sesama mukmin sehingga Rasulullah SAW pernah menggambarkan kehidupan orang-orang mukmin umpama jasad yang satu yang saling merasakan segala yang dirasai atau dideritai oleh saudara seislam. Ibadah Perkara ini memanglah perkara akhirat dan Rasulullah SAW menunjukkan ibadah yang terbaik dan terbanyak tetapi bukan khusus untuknya sebagai Nabi. Rasulullah mencontohkan perlaksanaan ibadah sedemikian banyak untuk kita ikuti jejak langkahnya. Kerana fitrahnya, Rasulullah menyukai pengabdian dan ibadah serta merasa senang melakukannya. Sebelum diangkat menjadi Rasul, pernah sampai sebulan dia memutuskan semua kesibukan bagi beribadat dalam sebuah gua di luar kota Mekah sehingga disebut oleh sahabat, “Dia senang beribadat, mengabdi dan berkhalwat sejak kecil. Dan begitulah orang-orang yang cerdik berkelakuan. Dan petunjuk itu telah bersemayam di dalam hati, maka akan petunjuk itu giatlah seluruh anggota tubuh melaksanakannya.” Baginda sembahyang sunat terlalu banyak ada kala semalaman tidak tidur sehingga bengkak-bengkak kakinya. Ertinya beribu-ribu rakaat baginda dapat rukuk dan sujud kepada Tuhan dalam menyatakan syukur dan kehambaan yang setinggi-tingginya. Baginda juga berpuasa selang sehari dan berzikir di waktu jaga dan tidur. Baginda dikatakan “al-Quran bergerak” kerana al-Quran bukan sahaja di hafal bahkan dijadikan panduan seluruh kehidupannya. Perhatikan peringatan Rasulullah SAW.:“Menyebut-nyebut Allah adalah suatu penyembuhan dan menyebut-menyebut tentang manusia adalah penyakit(ertinya penyakit akhlak)” Oleh itu, setiap individu Muslim perlu mengkaji semula cara hidup Rasulullah SAW dan salafussoleh supaya kita benar-benar terdidik dan cukup kuat untuk menghadapi dunia ini. Moga-moga kita selamat sebagaimana selamatnya Rasulullah SAW dan para sahabat dalam menguruskan dunia ini. Sikap Rasulullah Ke atas Dunia Zuhud Baginda tidak berhasrat kepada sesuatu yang harus, padahal adanya kesanggupan memperolehnya atau mengerjakannya, melatih diri dan membersihkannya. Baginda mendahulukan kepentingan orang lain daripada kepentingan diri sendiri. Dengan sifat ini, baginda mendidik para pengikutnya berakhlak mulia seperti baginda. Mereka tidak tunduk kepada kesenangan hawa nafsu, mereka lebih mengutamakan orang lain daripada diri mereka sendiri seperti Abu Bakar, Umar, Ali daripada kalangan sahabat mahupun para pemimpin yang lain. Tarmizi meriwayatkan daripada Abdullah bin Syakhkhair ra, “Saya mendatangi Rasulullah SAW baginda sedang mengerjakan solat, dari perut baginda terdengar seperti bunyi air yang sedang mendidih kerana tangis.” Pernah Umar al-Khattab melihat Rasulullah berbaring di atas pasir berdebu, sehingga meninggalkan bekas di rusuk baginda mengalir air mata Umar melihatnya. Rasulullah bertanya: ”Ada apa hai Umar?” Maka Umar menjawab:”Wahai Rasulullah, engkau adalah manusia pilihan Allah, sedangkan Kisra dan Kaisar begitu mewah kehidupan keduanya. ”Mendengar perkataan Umar itu Rasulullah merah padam mukanya lalu berkata; ”Apakah engkau dalam keraguan hai Ibnu Khattab? Mereka adalah satu kaum yang disegerakan bagi mereka kemewahan hidup mereka di dunia ini.” Baginda juga pernah bersabda, “Ya Allah, jadikanlah rezeki keluarga Muhammad sekadar cukup untuk dimakan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim Rumah Rasulullah SAW, menolak kekayaan kerana baginda tidak mahu umatnya mencontohi perbuatannya dengan mengambil kekayaan untuk peribadi dan duniawi. Sekalipun baginda dapat apa yang dihajatinya, baginda tetap mahu hidup sebagai hamba. Itulah sikap pemimpin sejati yang mana rumahnya betul-betul macam rumah seorang hamba, yang kecil, sempit, berbumbung rendah , dibuat daripada tanah dan pintunya daripada kain guni. Tempat tidur Alas tidur Rasulullah SAW cumalah anyaman tikar daun kurma, apabila baginda bangun tidur, berbekas-bekas urat-urat daun anyaman pada badan baginda yang mulia itu. Kebesaran baginda sebagai pemimpin dunia tidak menghalangnya hidup sebagai hamba yang lemah. Makanan dan minuman Baginda juga sering berlapar sehingga perutnya pernah dilapik dengan batu menahan kelaparan dan makanannya diberikan kepada orang lain. Baginda makan hanya apabila lapar dan berhenti makan sebelum kenyang. Makanan baginda cuma susu, air dan kurma. Sekiranya lebih baginda tidak buang kerana sangat sayang dan menjaga rezeki yang Allah SWT kurniakan. Kerana itu kalau berlebih, cepat-cepat dihantar ke rumah jiran untuk dihabiskan. Hidup baginda bagaikan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Baginda tidak makan seorang diri, mesti secara berjemaah. Pakaian Rasulullah SAW cuma ada sedikit pakaian, itupun jenis pakaian orang susah dan murah. Sesekali baginda memakai juga pakaian mahal yang dihadiahkan orang bukan hasil usahanya sendiri. Baginda memakainya kerana menghormati pemberian hadiah daripada orang tetapi lazimnya pakaiannya yang cantik, kemas dan bersih serta wangi itu adalah jenis pakaian murah. Kenderaan Sebagai hamba, baginda tidak merasa jijik naik keldai, tetapi baginda juga berkuda dan naik unta sesuai dengan keperluan perjalanan. Tetapi keperluan perhubungan yang jauh serta peruntukan-peruntukan perjuangan memang memerlukan kenderaan yang agak canggih. Misalnya baginda menunggang kuda Sambrani, seekor kuda yang dihadiahkan kepada baginda. Harta benda dan wang Rasulullah SAW asalnya kaya dan berada kerana mewarisi kekayaan isterinya Siti Khadijah. Walau bagaimanapun sewaktu wafat, baginda tidak meninggalkan apa-apa harta dan wang. Ertinya hidupnya bukan untuk mengejar kekayaan harta benda dan wang yang mana semuanya dikorbankan untuk jihad fisabilillah sebagai sumber pembangunan ummah. Apabila sudah berkorban sampai begitu sekali, apa jaminan masa depan anak-anak yang ditinggalkan? Persoalan ini tidak timbul sama sekali sebab setiap anggota masyarakat tentu mendapat pembelaan daripada masyarakat beriman. Seperti kerajaan dan masyarakat yang memerintah, menjaga dan mengawal anak buahnya dengan penuh kasih sayang dan tanggungjawab yang cintakan Allah SWT dan akhirat lebih daripada cintakan dunia dan segala kesenangan dalamnya. Begitulah sikap Rasulullah SAW ke atas dunia. Baginda seolah-olah tidak hirau atau tidak mempedulikan sangat berkenaan urusan yang berkaitan dengan dunianya. Tetapi untuk akhirat, baginda sangat serius melaksanakan segala tanggungjawab yang dipikulnya. Sikap Rasulullah Ke Atas Akhirat Perjuangan Perjuangan diletakkan sebagai perkara pertama dalam kerja-kerja akhirat yang dilakukan oleh Rasulullah. Tujuannya adalah memberi penekanan yang lebih sesuai dengan pentingnya perjuangan ini di samping menyatakan ia bukan urusan dunia, tetapi urusan akhirat. Baginda berjuang sepanjang umurnya bagi menegakkan kalimah Allah SWT di muka bumi. Baginda sungguh serius demi menegakkan kebenaran baginda sanggup menghadapi apa saja risiko sekalipun mati. Rasulullah SAW pernah bersabda kepada bapa saudaranya:“Demi Allah, wahai bapa saudaraku, sekalipun mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku supaya aku meninggalkan urusan ini nescaya aku tidak akan tinggalkannya sehingga Allah SWT memberi keputusannya." Kepimpinan Kepimpinan Rasulullah SAW adalah kepimpinan yang tidak dapat dipertikaikan, kecuali oleh musuh baginda dan musuh Islam. Allah SWT berfirman dalam surah al-Ahzab, ayat 21 yang bermaksud, “Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang yang mengharap rahmat Allah dan kedatangan hari akhirat.” Kepimpinan baginda mencakupi kepimpinan agama dan siasah iaitu suatu kepimpinan yang bersepadu. Sebelum dilantik sebagai rasul, baginda terdedah kepada berbagai pengalaman seperti menjadi penggembala kambing, melibatkan diri dalam urusan perniagaan dan menjadi pendamai dalam peristiwa meletakkan Hajar al-Aswad di bucu Kaabah. Baginda diberi gelaran ‘al-Amin’. Dalam konteks kepimpinan keagamaan, baginda telah menghadapi berbagai dugaan dan cabaran yang getir dengan kaumnya sendiri. Untuk merubah kepercayaan sesuatu kaum yang telah berakar umbi dan diwarisi sekian lama memerlukan individu yang istimewa. Mempunyai ciri-ciri keperibadian yang tinggi seperti sabar, kebijaksanaan dan ketabahan. Sifat-sifat tersebut telah membantu baginda dalam menghadapi musuhnya. Mendidik Usaha ini adalah satu daripada cabang perjuangan yang penting dan juga urusan akhirat. Rasulullah SAW sentiasa mendidik umatnya siang dan malam, pagi dan petang ataupun di mana saja. Baginda tidak pernah meminta upah dan tidak pula mencari kepentingan peribadi. Baginda sangat serius menasihati, menegur, memandu dan menunjuk ajar siapa sahaja tanpa mengira pangkat atau darjat. Baginda pergi ke mana sahaja bagi menyampaikan mesej dakwah kepada manusia. Sehingga waktu baginda sakit tenat dan hampir wafat, baginda masih bercakap berkaitan nasib umatnya. Berkorban Perjuangan dan pendidikan tidak dapat berjalan dengan baik tanpa pengorbanan. Oleh itu Rasulullah SAW sentiasa sangat serius berkorban wang ringgit, harta benda, masa, tenaga, fikiran dan segalanya. Baginda pergi ke medan perang dan berada di barisan hadapan sekali. Baginda ikut sama mengorek parit dan mengangkat batu dalam Perang Khandak. Baginda hidup bersama fakir miskin, janda dan anak yatim dan menjadi pembela kepada orang-orang susah itu. Apabila mendapat harta rampasan perang, baginda dahulukan ahli suffah dan masyarakat lainnya tanpa menghiraukan diri dan ahli keluarga baginda. Orang yang berhutang, bagindalah yang membayarnya. Pendeknya demi keselamatan ummah baginda rela menanggung susah payahnya. Kesimpulan Apabila berbicara berkenaan sahsiah atau keunggulan peribadi, maka tentulah nilai terunggul itu terpancar daripada akhlak al-Karimah yang dimiliki oleh Rasulullah SAW. Kecemerlangan umat silam sesungguhnya terpancar daripada sinar akidah, gemerlap syariah serta kilauan akhlak yang diteladankan oleh Rasulullah SAW. Kalau mengikut proses biasa, rasanya tidak ada jalan singkat untuk mencapai takwa dan akhlak mulia. Sejarah memperlihatkan seseorang yang hendak membaiki diri lebih-lebih lagi masyarakat memerlukan belasan malah sampai puluhan tahun. Rasulullah SAW membuktikan praktikalnya al-Quran sebagai panduan utama mencapai ketinggian budi dan akhlak yang mulia. Setiap individu Muslim perlu menghayati dan mengamalkan segala sikap dan akhlak baginda agar hidup mereka selamat sejahtera di dunia dan di akhirat.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar